PePengenalan
Seawal abad ke-15, Islam telah mula
bertapak di Melaka. Sultan Megat Iskandar Shah merupakan sultan yang pertama
memeluk agama Islam. Baginda juga merupakan putera kepada Parameswara. Sejak
pada itu, Melaka mula berkembang menjadi pusat penyebaran agama Islam. Selain
itu, Islam dijadikan sebagai agama rasmi pada zaman pemerintahan Sultan
Muzaffar Shah (1446-1456). Baginda juga memperkenalkan undang-undang Islam yang
dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka. Terdapat beberapa faktor perkembangan
Islam di Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antaranya ialah faktor perkahwinan,
faktor perdagangan, faktor penaklukan dan politik, faktor peranan ulama' dan
ahli sufi dan lain-lain.
Terdapat pelbagai faktor yang
mempengaruhi perkembangan agama Islam di Melaka. Berikut adalah antara faktornya
:-
1)
Perdagangan.
2)
Kekaburan
agama Hindu.
3)
Perkahwinan.
4)
Pengaruh
Raja
Sebelum kedatangan Islam di Melaka,
masyarakat Melayu mempercayai kepercayaan seperti animisme dan Hindu-Buddha yang diwarisi daripada
nenek moyang mereka. Kehidupan mereka penuh dengan unsur kepercayaan tahyul dan
karut seperti roh dan jiwa. Sebaliknya kedatangan Islam telah menukar
kepercayaan dan gaya hidup rakyat Melaka. Islam merupakan sebuah agama yang
sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dalam semua zaman. Islam adalah
berteraskan aqidah, ibadah, syariah dan akhlak yang memberikan kebahagian di
dunia dan di akhirat. Ini menyebabkan agama Islam mudah diterima dan difahami
oleh seluruh masyarakat Melaka. Dalam aspek sosial, Islam menegaskan bahawa
tiada perbezaan darjat dan orang yang bertaqwa sahaja yang mulia di sisi Allah
S.W.T. Islam memberi jaminan dan keadilan sosial kepada umatnya tanpa
membezakan antara yang kaya atau miskin. Malahan Islam sentiasa menanamkan
sifat-sifat Mahmudah (terpuji) dan mengelakkan sifat-sifat Mazmumah (tercela).
Sementara dari aspek ekonomi pula, Islam mengharamkan umatnya menipu dan
melakukan riba' sebaliknya Islam mempunyai peraturan tertentu yang berlandaskan
hukum Islam seperti mu'amalat, zakat dan sebaginya. Dalam aspek politik, Islam
menggalakkan umatnya berlaku adil dan tidak mengambil rasuah ianya akan membawa
kepada kehancuran masyarakat dan negara. Keadaan ini menyebabkan Islam
mempunyai daya tarikan kuat kepada rakyat Melaka yang sebelum ini dipengaruhi
kefahaman Hindu yang kompleks dan rumit terutama sistem kasta yang menyukarkan
keadaan dalam mewujudkan perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain.
Di
samping itu, perdagangan merupakan
salah satu aspek penting dan berkesan dalam proses mengembangkan dakwah
Islamiyyah di Kesultanan Melayu Melaka. Pedagang Arab, Parsi, India dan Melaka
telah berdagang sesama mereka sejak beberapa kurun sebelum Masihi hingga ke
zaman kedatangan Islam pada abad ke-7 dan ke-8 Masihi. Mereka telah berjaya
mengislamkan penduduk tempatan dengan mengadakan hubungan baik dengan para
pembesar tempatan dan saudagar-saudagar dari kerajaan lain seperti Perlak,
Pasai dan Aceh. Terdapat segelintir daripada pedagang-pedagang tersebut menetap
sementara untuk menyebarkan dakwah kepada rakyat Melaka. Seterusnya, Islam
mungkin tersebar di Zaman Kesultanan Melayu Melaka sejak awal abad Hijrah lagi
menurut T. W. Arnold. Kemungkinan ini berdasarkan laporan pedagang-pedagang
Arab yang telah berdagang dengan Melaka dan China. Kedudukan strategik Melaka
sebagai sebuah pelabuhan maritim yang bertaraf antarabangsa telah menggalakkan
pedagang Arab, Parsi dan India berdagang di Melaka. Sementara menunggu
perubahan angin monsun, para pedagang dari Timur dan Barat menjadikan Melaka
sebagai pusat persinggahan. Pedagang-pedagang Arab secara tidak langsung
menyebarkan dakwah Islamiyyah melalui persinggahan ini. Sebahagian mereka
menjadi guru agama dan menjadikan surau dan masjid sebagai tempat pengajian
agama. Selain itu, pelabuhan Melaka menjadi tumpuan pedagang dari Gujerat,
Palembang, Jawa dan China kerana kemudahan perdagang yang baik dan keselamatan
yang terjamin. Ini menjadikan Melaka sebagai tempat pertukaran barang-barang di
mana ianya telah menarik perhatian saudagar-saudagar Islam dari Arab dan India
untuk berdagang ke Melaka.
Tambahan pula, kekaburan agama Hindu ialah salah satu sebab penyebaran Islam ke
Melaka. Agama Hindu merupakan satu fahaman yang amat kompleks dan sukar
difahami walaupun telah tersebar ke Melaka semenjan berabad-abad. Ajaran Hindu
juga lebih mentikberatkan soal dongeng dan dewa-dewa yang hanya difahami oleh
sami-sami mereka sahaja. Keadaan ini telah menjejaskan kepercayaan
penganut-penganut agama tersebut. Sebaliknya agama Islam adalah salah satu
agama yang mudah difahami dan dapat diterima oleh semua golongan. Hanya dengan
menerima konsep ketuhanan yang esa dan Nabi Muhammad sebagai pesuruhNya, maka
keislaman seseorang itu telah diterima. Penganut-penganut agama Islam
dijelaskan dengan konsep Tuhan yang menjadikan seluruh alam, mempunyai
kekuasaan dan tidak menyerupai apa-apa benda sekalipun. Hal ini dengan mudah
menarik orang-orang Melayu menerima Islam. Jika diteliti dengan lebih mendalam,
golongan ulama' dan ahli sufi juga memainkan peranan penting dalam perkembangan
agama Islam ke Melaka. Sifat mereka yang mudah bergaul dan beramah mesra dengan
pelbagai lapisan masyarakat telah menarik minat penduduk tempatan untuk
mempelajari Islam. Sehubungan dengan itu, suasana harmoni yang terjalin di
dalam perhubungan antara ulama' dengan golongan saudagar yang telah memeluk
Islam telah menjadikan mereka berpengaruh besar. Para ulama' berperanan penting
dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan seperti Perlak, Samudera Pasai, Acheh,
Melaka dan sebagainya. Contohnya, dalam kerajaan Acheh, lahir ramai tokoh-tokoh
ulama' yang berperanan penting dalam menyebarkan Islam. Mereka telah hasilkan
banyak karya-karya berbentuk keagamaan. Penyebaran Islam menjadi semakin pesat
oleh kerana wujudnya kerajaan-kerajaan tersebut. Faktor penentangan kuasa
Kristian seperti Portugis telah membawa kepada perkembangan Islam di Melaka
dengan lebih pesat lagi.
Sehubungan dengan itu, perkahwinan merupakan antara faktor
tersebarnya Islam ke Melaka. Ramai saudagar yang datang ke Melaka merupakan golongan
kaya raya. Sesetengahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan pembesar-pembesar
tempatan. Dengan kekayaan yang ada, mereka berjaya mempengaruhi wanita-wanita
tempatan untuk dijadikan isteri. Malahan ada saudagar yang dapat berkahwin
dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar terutamanya di zaman
Kesultanan Melayu Melaka. Perhubungan keluarga telah memudahkan para pedagang
Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat mereka sendiri. Perkahwinan
ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan
untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka
seterusnya akan diikuti gologan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai.
Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam. Agama Islam
juga tersebar melalui perkahwinan antara raja dari Negara lain. Proses ini
biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini membantu perkembangan Islam
ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri
Pasai dengan Megat Iskanda Syah
menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan
anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah
menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya.
Selaras dengan itu, Sultan Melaka juga mempunyai peranan besar dalam perkembangan Islam
di Melaka. Baginda telah menyambut baik dan menyediakan tempat tinggal kepada
pendakwah di samping mengalakkan penyebaran Islam. Contohnya, dengan mewujudkan
institusi agama dan menjadikan istana tempat menjalankan aktiviti Islam. Melaka
mempunyai ramai tentera upahan dari Jawa. Mereka memeluk Islam semasa bertugas
di Melaka dan menyebarkannya apabila pulang ke tempat asal mereka. Kemudan,
Melaka mempunyai tanah jajahan taklukan yang luas. Oleh itu, kebanyakkan raja
negeri taklukan Melaka memeluk Islam sebagai tanda taat setia mereka kepada
Melaka dan menjamin keselamatan negeri. Kesusasteraan dan penulisan juga
menjadi faktor penting tersebarnya Islam di Melaka. Selepas kedatangan Islam,
muncul tulisan jawi yang berasal daripada abjad huruf Arab. Dengan adanya
tulisan tersebut maka bahasa Melayu berkembang dengan pesat sekali. Nahu dan
perbendaharaan bahasa Melayu dilengkapkan dengan pengaruh unsur-unsur nahu dan
kata-kata Arab hingga bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi sistem
pelajaran dan pendidikan di Melaka. Berbagai-bagai bentuk sastera Arab seperti
syair, sajak, nazam, dan sebagainya telah mempengaruhi bahasa Melayu. Akhirnya,
lahir ramai tokoh pengarang Islam dalam kalangan para ulama yang gigih menghasilkan
karya sastera yang berunsur Islam. Banyak karya terjemahan tentang kisah-kisah
Nabi Muhammad SAW dan sahabat menarik minat dan perhatian penduduk Melaka.
Contohnya, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Nabi Wafat,
Hikayat Nabi Mengajar Anaknya Fatimah, Hikayat Nur Muhammad.
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, jelas
menunjukkan bahawa faktor-faktor ini telah membawa pengaruh yang cukup besar
terhadap perkembangan Islam secara lebih pesat dan berkesan di Melaka. Antara
sebab-sebabnya ialah melalui perdagangan, perkahwinan dan penaklukan. Bahkan,
ia turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pusat-pusat perkembangan Islam
yang utama di Melaka. Oleh yang demikian, kita haruslah berganding bahu dalam
mempertahankan agama Islam yang telah lama bertapak di Malaysia. Sekian, terima
kasih.